Kisahnya di Flinders ...
Bertemu, berpisah depan Stesen Flinders
KALI pertama saya menjejak kaki ke Melbourne, Australia pada 3 hingga 8 Oktober 2009, kali kedua pula pada 4 hingga 9 Mac lalu. Kunjungan kali pertama atas tugasan membuat liputan Australian Malaysian Film Festival 2009 (AMFF) dan kunjungan kali kedua tempoh hari 'gatal' nak bercuti.
KEBETULAN...Izhar, Adam, Jamil dan Latiff secara tidak sengaja mengabadikan kenangan depan Flinders Street Station.
Kunjungan pada Oktober lalu turut disertai Penerbit Eksekutif TV3, Jamil Hassan atas undangan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan A2K Media PTY LTD selaku penganjur AMFF dengan kerjasama Lineclear Motion Picture Sdn Bhd (LCMP). Turut sama AJK Penyelidikan dan Pemasaran Antarabangsa PFM juga Penerbit Eksekutif LCMP, Abdul Latiff Mohaideen yang menaiki penerbangan Air Asia bersama kami.
Setiap kita yang pernah ke Melbourne mempunyai persepsi serta cita rasa tersendiri di ibu negeri Victoria itu. Saya dan Jamil cuma bergantung pada Latiff yang kami gelar 'Penghulu Melbourne' tetapi pada pagi hari pertama di sana, kami berdua lebih selesa melilau dengan cara sendiri.
Bukan apa, sebagai orang media, terlanjur AMFF belum dirasmikan di The Cube, Australian Centre For The Moving Image (ACMI), inilah peluang mencuri masa. Sebabnya antara saya dan Jamil bekerja 'one man show', bukan setakat kena membuat liputan tetapi mengambil gambar sendiri.
Untungnya penginapan kami di Hotel Seassons tidak jauh dari bandar dan berdekatan pula dengan pengangkutan awam yang popular di sana iaitu tram. Teringin naik tram pada hari pertama tetapi tidak tahu hala tuju, lalu paling mudah berjalan kaki dari hotel menuju ke satu bangunan unik.
Awalnya tidak tahu apa nama bangunan klasik bercirikan Inggeris itu, macam 'ayam berak kapur' dibuatnya terpinga-pinga melihat orang ramai sentiasa berpusu-pusu, sebaik didekati barulah diketahui ia Flinders Street Station. Ia mengingatkan saya pada bangunan klasik Keretapi Tanah Melayu.
Namun pintu masuknya yang berkubah dengan jam besar di atasnya ada ciri-ciri konsep Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu kota kita. Stesen Flinders yang mempunyai 15 platform terletak antara Flinders Street dan Swanston Street berdekatan pula dengan Sungai Yarra.
Dari hotel menuju Flinders Street Station (FSS) yang berjarak sekitar dua kilometer saujana mata kiri dan kanan dengan udara yang nyaman sempat merentasi Victoria Barracks (Department Of Defence), National Gallery Of Victoria, Pasar Ahad atau Sunday Market serta melihat cruise di Sungai Yarra.
Terbit rasa bangga kerana ketika berjalan ternampak pula kereta nasional kita Gen 2, saya pun apa lagi rakamkan gambar buat tatapan pembaca.
Tercegat di depan Stesen Flinders, timbul seronok melihat kerenah orang ramai. Tidak seperti kunjungan saya ke Copenhagen, Denmark dulu boleh dikatakan majoriti muka mat salih, tetapi di Melbourne toleh kiri dan kanan pelbagai bangsa boleh kelihatan, ada rupa India dan Cina.
Tidak sah jika kali pertama melihat tanpa merakam gambar stesen itu. Boleh dikatakan setiap pelancong ke Melbourne akan mengabadikan gambar di depan stesen itu. Sambil memerhatikan lokasi di sekeliling, ada Princes Bridge Hotel ternampak pula bangunan ACMI, bermakna lokasi berlangsungnya AMFF tidak jauh dari FSS. Cuma di perkarangan ACMI ada tempat santai sambil tonton televisyen gergasi iaitu Federation Square.
Ikutkan, saya mahu mengisi perut di restoran Nelayan yang dikata milik peniaga Indonesia. Di sebalik manusia berduyun itu, saya dan Jamil terpisah. Ke hulu ke hilir saya mencari dia, telefon bimbit pula tertinggal di hotel. Hampir sejam mencari beberapa kali berpusing di keliling bangunan yang sebenarnya berlegar di penjuru sama apabila terpandang FSS. Tanpa diduga di sekitar FSS akhirnya menemukan semula saya dan Jamil.
Liputan AMFF keesokan petang hingga tayangan filem Talentime ke larut malam jelas memberi gambaran filem Malaysia boleh merentas sempadan jika strategi promosi bersistematik, namun kualitinya juga harus dijaga.
Kesempatan di sana memberi peluang menemuramah pelajar, termasuk Presiden Kelab Umno Australia Melbourne (KUAM), Mohd Izhar Moslem.
Seronok mendengar cerita Izhar bagaimana dia bersama rakan menguruskan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu pelajar kita di Australia dan menetap di hotel sama dengan saya.
Larut malam, sebaik majlis berakhir perut terasa lapar, apa hendak dimakan pada ketika restoran semua sudah tutup, lalu diajak ketiga-tiga pelajar, Tiara, Balqis dan Tamara ke restoran makanan segera dan ternyata ia tidak jauh dari FSS.
Ibarat sambil menyelam minum air, Latiff yang ketika itu sibuk mencari pelakon untuk filem Ratu sempat menawarkan watak pada ketiga-tiga pelajar yang tidak kurang manisnya, tetapi mereka menolak.
Sesudah bersembang panjang, baru diberitahu ketiga-tiga pelajar itu adik beradik yang nama mereka bermula dengan pangkal Dayangku. Selesai menjamu selera, masa untuk berpisah, namun sempat mengabadikan gambar larut malam berlatarkan FSS. Ikutkan, tidak pernah dirancang untuk fotografi depan FSS dan ia cuma secara kebetulan apabila saya melihat kembali gambar banyak juga aksi kami berlatarkan FSS pada waktu siang.
Kebetulan ia di tengah pusat bandar, bertemu dan berpisah mesti di depan FSS. Cuma berdetik di hati untuk masuk ke dalam stesen itu tetapi tidak tahu ke destinasi mana, apatah lagi dengan sibuk membuat liputan AMFF, namun akhirnya terlaksana juga pada kunjungan kali kedua tempoh hari.
>Info